Selamat datang ke blog My Pustaka Islam.

Mulakan pencarian anda dengan klik butang menu yang ada di atas atau di tepi.

Maklumat di blog ini adalah untuk kegunaan semua. Semoga bermanfaat.

Wednesday, March 3, 2010

Susunan Wali


Susunan wali mengikut tertib adalah seperti berikut:

1. Bapa kandung

2. Datuk sebelah bapa ke atas

3. Saudara lelaki seibu-sebapa

4. Saudara lelaki sebapa

5. Anak saudara lelaki seibu-sebapa

6. Anak saudara lelaki sebapa

7. Bapa saudara sebelah bapa seibu-sebapa

8. Bapa saudara sebelah bapa sebapa

9. Anak lelaki bapa saudara sebelah bapa seibu-sebapa ke bawah

10. Anak lelaki bapa saudara sebelah bapa sebapa ke bawah

11. Bapa saudara seibu-sebapa

12. Bapa saudara bapa sebapa

13. Anak lelaki bapa saudara seibu-sebapa

14. Anak lelaki bapa saudara sebapa ke bawah

15. Bapa saudara datuk seibu-sebapa

16. Bapa saudara datuk sebapa

17. Anak lelaki bapa saudara datuk seibu-sebapa ke bawah

18. Anak lelaki bapa saudara datuk sebapa ke bawah

19. Muktiq (tuan kepada hamba perempuan yang dibebaskan).

20. Sekalian asabah kepada seorang muktiq

21. Raja/Sultan.

Sekiranya wali pertama tidak ada, hendaklah diambil wali yang kedua dan jika wali kedua tidak ada hendaklah diambil wali ketiga dan begitulah seterusnya. Mengikut tertib wali, bapa hendaklah menjadi wali bagi semua perkahwinan anaknya. Dan jika bapa tidak ada kerana meninggal dunia maka hak wali berpindah kepada datuk pengantin perempuan itu; dan jika datuk juga meninggal dunia maka hak wali itu berpindah kepada saudara lelaki seibu-sebapa kepada pengantin perempuan dan begitulah bidang kuasa wali mengikut tertib susunannya.
Sekiranya pengantin perempuan itu tidak mempunyai wali maka ia akan dinikahkan secara wali hakim. Rasulullah saw bersabda: “Maka Sultanlah yang menjadi wali bagi sesiapa yang tidak mempunyai wali”.
(Riwayat At-Tirmizi dan Abu Daud)
Pengertian Wali Aqrab
Wali Aqrab : Wali yang paling dekat hubungannya dengan pengantin perempuan mengikut susunan wali.

Pengertian Wali Ab’ad
Wali Ab’ad : Wali yang jauh perhubungannya dengan pengantin perempuan mengikut susunan wali.

Pengertian Wali Mujbir
Wali mujbir : Wali yang mempunyai bidang kuasa mengahwinkan anak atau cucu perempuan yang masih perawan atau dara tanpa meminta izin perempuan itu terlebih dahulu. Menurut Mazhab Shafi’e, wali mujbir itu terdiri daripada bapa, datuk dan seterusnya sampai ke atas. Manakala wali-wali lain seperti saudara lelaki kandung sebapa, bapa saudara dan sebagainya bukan wali mujbir iaitu tidak ada bidang kuasa memaksa perempuan berkahwin. Dalilnya ialah:

“Perempuan janda lebih berhak pada dirinya daripada walinya dan perempuan perawan atau dara dikahwinkan oleh bapanya”.
(Riwayat Darul-Qutni)

Hadith ini menunjukkan bapa atau datuk mengahwinkan anak perempuan yang perawan tanpa meminta izin anak perempuan itu terlebih dahulu adalah sah.

Perempuan Janda
Wali Mujbir atau wali-wali yang lain tidak boleh mengahwinkan perempuan janda kecuali hendaklah mendapat izin perempuan itu terlebih dahulu. Rasulullah saw telah bersabda:
“Dari Abu Hurairah r.a. Rasulullah saw bersabda, “Perempuan janda diajak bermusyawarah tentang urusan dirinya, kemudian jika ia diam, maka itulah izinnya, tetapi jika ia menolak maka tiada paksa ke atasnya”.
(Riwayat Al-Khamsah kecuali Ibnu Majah)
Dalam hadith yang lain, Rasulullah saw telah menyatakan:
“Dari Khansa’ binti Khadam, bahawasanya bapa Khansa’ telah mengahwinkan dia, sedang ia perempuan janda, lalu ia tidak suka demikian itu. Kemudian ia datang kepada Rasulullah. Lalu Rasulullah menolak perkahwinan itu”.
(Riwayat Al-Bukhari dan Ahmad)
Ini bermakna perempuan janda mempunyai bidang kuasa menolak perkahwinan yang dibuat tanpa kebenarannya iaitu ia boleh menfasakhkan perkahwinan itu di Mahkamah Syariah.

Rujukan : http://www.islam.gov.my

No comments: