Selamat datang ke blog My Pustaka Islam.

Mulakan pencarian anda dengan klik butang menu yang ada di atas atau di tepi.

Maklumat di blog ini adalah untuk kegunaan semua. Semoga bermanfaat.

Tuesday, November 22, 2011

Al-Ma'thurat

Aku berlindung dengan Allah Yang Maha Mendengar Lagi Maha Mengetahui dari gangguan syaitan yang terkutuk.



[1]Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. [2]Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. [3]Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. [4]Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat). [5]Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan. [6]Tunjukilah kami jalan yang lurus. [7]Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang  yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat.
(Al-Fatihah ayat 1-7)



[1]Alif, Laam, Miim. [2]Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa; [3]Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka. [4]Dan juga orang-orang yang beriman kepada Kitab "Al-Quran" yang diturunkan kepadamu (Wahai Muhammad), dan Kitab-kitab yang diturunkan dahulu daripadamu, serta mereka yakin akan (adanya) hari akhirat (dengan sepenuhnya). [5]Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka, dan merekalah orang-orang yang berjaya.
 (Al-Baqarah ayat 1-5)


[163]Dan Tuhan kamu ialah Tuhan yang Maha Esa; tiada Tuhan (Yang berhak disembah) selain dari Allah, yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
 (Al-Baqarah ayat 163)


[255]Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan dengan izinNya. yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmuNya dan kekuasaanNya) meliputi langit dan bumi; dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. Dan Dia lah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaanNya), lagi Maha Besar (kekuasaanNya)
 (Al-Baqarah ayat 255)


[256]Tidak ada paksaan dalam ugama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali ugama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. [257]Allah Pelindung (Yang mengawal dan menolong) orang-orang yang beriman. Ia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman). Dan orang-orang yang kafir, penolong-penolong mereka ialah Taghut yang mengeluarkan mereka dari cahaya (iman) kepada kegelapan (kufur). Mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.
 (Al-Baqarah ayat 256-257)



[284]Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi adalah kepunyaan Allah. Dan jika kamu melahirkan apa yang ada di dalam hati kamu atau kamu memyembunyikannya, nescaya Allah akan menghitung dan menyatakannya kepada kamu. Kemudian Ia mengampunkan bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan menyeksa sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya) Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. [285]Rasulullah telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, dan juga orang-orang yang beriman; semuanya beriman kepada Allah, dan Malaikat-malaikatNya, dan Kitab-kitabNya, dan Rasul-rasulNya. (Mereka berkata): "Kami tidak membezakan antara seorang dengan yang lain Rasul-rasulnya". Mereka berkata lagi: Kami dengar dan kami taat (kami pohonkan) keampunanMu wahai Tuhan kami, dan kepadaMu jualah tempat kembali". [286]Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir".
 (Al-Baqarah ayat 284-286)


[1]Alif, Laam, Miim. [2]Allah tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap Hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan sekalian makhlukNya.
(Ali 'Imran ayat 1-2)


[111]Dan segala muka akan tunduk dengan berupa hina kepada Allah Yang Tetap Hidup, lagi Yang Kekal Mentadbirkan makhluk selama-lamanya; dan sesungguhnya telah rugi dan hampalah orang yang menanggung dosa kezaliman. [112]Dan sesiapa yang mengerjakan sebarang apa dari amal-amal yang soleh, sedang ia beriman, maka tidaklah (seharusnya) ia merasa takut dianiaya atau dikurangkan sedikitpun dari pahalanya.
(Taha ayat 111-112)

[129]Kemudian jika mereka berpaling ingkar, maka katakanlah (wahai Muhammad): "cukuplah bagiku Allah (yang menolong dan memeliharaku), tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; kepadaNya aku berserah diri, dan Dia lah yang mempunyai Arasy yang besar."
(At-Taubah ayat 129)


[110]Katakanlah (wahai Muhammad): "Serulah nama " Allah" atau nama "Ar-Rahman", yang mana sahaja kamu serukan (dari kedua-dua nama itu adalah baik belaka); kerana Allah mempunyai banyak nama-nama yang baik serta mulia". Dan janganlah engkau nyaringkan bacaan doa atau sembahyangmu, juga janganlah engkau perlahankannya, dan gunakanlah sahaja satu cara yang sederhana antara itu. [111]Dan katakanlah: "Segala puji tertentu bagi Allah yang tiada mempunyai anak, dan tiada bagiNya sekutu dalam urusan kerajaanNya, dan tiada bagiNya penolong disebabkan sesuatu kelemahanNya; dan hendaklah engkau membesarkan serta memuliakanNya dengan bersungguh-sungguh!"
 (Al-Isra' ayat 110-111)


[115]"Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami?" [116]Maka (dengan yang demikian) Maha Tinggilah Allah Yang Menguasai seluruh alam, lagi Yang Tetap Benar; tiada Tuhan melainkan Dia, Tuhan yang mempunyai Arasy yang mulia. [117]Dan sesiapa yang menyembah tuhan yang lain bersama-sama Allah, dengan tidak berdasarkan sebarang keterangan mengenainya, maka sesungguhnya hitungannya (dan balasan amalnya yang jahat itu) disediakan di sisi Tuhannya. Sesungguhnya orang-orang yang kafir tidak akan berjaya. [118]Dan berdoalah (wahai Muhammad dengan berkata): "Wahai Tuhanku, berikanlah ampun dan kurniakan rahmat, dan sememangnya Engkaulah sahaja sebaik-baik Pemberi rahmat!"
(Al-Mukminun ayat 115-118)



[17](Setelah kamu mengetahui yang demikian) maka bertasbihlah kepada Allah semasa kamu berada pada waktu malam dan semasa kamu berada pada waktu subuh. [18]Serta pujilah Allah yang berhak menerima segala puji (dari sekalian makhlukNya) di langit dan di bumi, dan juga (bertasbihlah kepadaNya serta pujilah Dia) pada waktu petang dan semasa kamu berada pada waktu zuhur. [19]Ia mengeluarkan sesuatu yang hidup dari benda yang mati, dan mengeluarkan benda yang mati dari sesuatu yang hidup, serta menghidupkan bumi sesudah matinya; dan sedemikian itulah kamu akan dikeluarkan (hidup semula dari kubur). [20]Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya (menghidupkan kamu semula), bahawa Ia menciptakan kamu dari tanah; setelah sempurna sahaja peringkat-peringkat kejadian kamu, kamu menjadi manusia yang hidup bertebaran di muka bumi. [21]Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir. [22]Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan kebijaksanaanNya ialah kejadian langit dan bumi, dan perbezaan bahasa kamu dan warna kulit kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang berpengetahuan. [23]Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kemurahannya dan kasih sayangNya ialah tidurnya kamu pada waktu malam dan pada siang hari, dan usaha kamu mencari rezeki dari limpah kurniaNya (pada kedua-dua waktu itu). Sesungguhnya keadaan yang demikian mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang mahu mendengar (nasihat pengajaran). [24]Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kebesaranNya dan kekuasaanNya, Ia memperlihatkan kilat kepada kamu, untuk menakutkan (dari panahan petir) dan memberi harapan (dengan turunnya hujan); dan Ia menurunkan hujan dari langit, lalu Ia hidupkan bumi sesudah matinya dengan hujan itu. Sesungguhnya yang demikian mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang menggunakan akal untuk memahamiNya. [25]Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan keluasan ilmuNya dan kekuasaanNya, ialah terdirinya langit dan bumi (dalam keadaan yang menakjubkan itu) dengan perintah dan penentuan takdirNya; akhirnya apabila Ia menyeru kamu dengan satu seruan (supaya kamu bangkit hidup semula) dari bumi, kamu dengan serta merta keluar (dari kubur masing-masing). [26]Dan sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi adalah hak kepunyaanNya, masing-masing tetap tunduk kepada hukum peraturanNya.

(Ar-Rom ayat 17-26)


[1]Haa, Miim. [2]Turunnya Al-Quran ini dari Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui; [3]Yang Mengampunkan dosa, dan Yang Menerima taubat; Yang Berat azabNya; Yang Melimpah-limpah kurniaNya; tiada Tuhan melainkan Dia; kepadaNyalah tempat kembali.
(Al-Mukmin ayat 1-3)


[22]Dia lah Allah, yang tidak ada Tuhan melainkan Dia; Yang Mengetahui perkara yang ghaib dan yang nyata; Dia lah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. [23]Dia lah Allah, yang tidak ada Tuhan melainkan Dia; Yang Menguasai (sekalian alam); Yang Maha Suci; Yang Maha Selamat Sejahtera (dari segala kekurangan); Yang Maha Melimpahkan Keamanan; Yang Maha Pengawal serta Pengawas; Yang Maha Kuasa; Yang Maha Kuat (menundukkan segala-galanya); Yang Melengkapi segala KebesaranNya. Maha Suci Allah dari segala yang mereka sekutukan denganNya. [24]Dia lah Allah, Yang Menciptakan sekalian makhluk; Yang Mengadakan (dari tiada kepada ada); Yang Membentuk rupa (makhluk-makhlukNya menurut yang dikehendakiNya); bagiNyalah nama-nama yang sebaik-baiknya dan semulia-mulianya; bertasbih kepadaNya segala yang ada di langit dan di bumi; dan Dia lah Yang tiada bandingNya, lagi Maha Bijaksana. 

(Al-Hasyr ayat 22-24)



[1]Apabila bumi digegarkan dengan gegaran yang sedahsyat-dahsyatnya, [2]Serta bumi itu mengeluarkan segala isinya, [3]Dan berkatalah manusia (dengan perasaan gerun); "Apa yang sudah terjadi kepada bumi?" [4]Pada hari itu bumipun menceritakan khabar beritanya: [5]Bahawa Tuhanmu telah memerintahnya (berlaku demikian). [6]Pada hari itu manusia akan keluar berselerak (dari kubur masing-masing) - untuk diperlihatkan kepada mereka (balasan) amal-amal mereka. [7]Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! [8]Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!
(Az-Zalzalah ayat 1-8)


[1]Katakanlah (wahai Muhammad): "Hai orang-orang kafir! [2]"Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. [3]"Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah. [4]"Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. [5]"Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. [6]"Bagi kamu ugama kamu, dan bagiku ugamaku".
 (Al-Kafirun ayat 1-6)


[1]Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Makkah), - [2]Dan engkau melihat manusia masuk dalam ugama Allah beramai-ramai, - [3]Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat.
(An-Nasr ayat 1-3)

[1]Katakanlah (wahai Muhammad): "(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa; [2]"Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; [3]"Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan; [4]"Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya".
 (Al-Ikhlas ayat 1-4)

[1]Katakanlah (wahai Muhammad); "Aku berlindung kepada (Allah) Tuhan yang menciptakan sekalian makhluk, [2]"Dari bencana makhluk-makhluk yang Ia ciptakan; [3]"Dan dari bahaya gelap apabila ia masuk; [4]"Dan dari kejahatan makhluk-makhluk yang menghembus-hembus pada simpulan-simpulan (dan ikatan-ikatan); [5]"Dan dari kejahatan orang yang dengki apabila ia melakukan dengkinya".
 (Al-Falaq ayat 1-5)

[1]Katakanlah (wahai Muhammad): "Aku berlindung kepada (Allah) Pemulihara sekalian manusia. [2]"Yang Menguasai sekalian manusia, [3]"Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia, [4]"Dari kejahatan pembisik penghasut yang timbul tenggelam, - [5]"Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia, - [6]"(Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia".
 (An-Nas ayat 1-6)


Sesungguhnya kami terjaga di pagi hari (di petang hari) dengan (kesedaran bahawa) Kerajaan (bumi dan segala isinya) ini seluruhnya adalah milik Allah. Dan segala puji bagi Allah, tiada sekutu bagiNya tiada tuhan selain Dia dan kepadaNya kami akan dibangkitkan.


Kami terjaga di pagi hari (di petang hari) dalam fitrah Islam, dan kalimat ikhlas dan dalam agama nabi kami, Muhammad s.a.w. dan dalam millat (ajaran) bapa kami ibrahim yang hanif (lurus) sedang dia bukan seorang musyrikin.

Allahumma, aku terjaga olehMu di pagi hari (di petang hari) dalam nikmat, afiat (keselamatan dari mara bencana), dan terjaganya rahsia-rahsia (dosa-dosaku) maka sempurnakanlah nikmatMu, afiatMu dan penjagaanMu itu atasku, di dunia dan di akhirat.


Allahumma, nikmat apa yang aku peroleh dan diperoleh seseorang di antara makhlukMu adalah dariMu, yang Esa dan tidak bersekutu, maka bagiMu segala puji dan syukur.


Hai Tuhan, bagiMu segala puji seagung kemuliaan wajahMu dan kebesaran kekuasaanMu.


Aku telah rela dengan Allah sebagai tuhanku, dan dengan Islam sebagai agamaku, dan dengan Muhammad sebagai nabi dan rasulku.

Maha suci Allah dan segala puji bagiNya, sebanyak bilangan ciptaanNya dan keredhaanNya, dan seberat timbangan ‘arasyNya dan sebanyak dakwat (yang dipakai untuk menuliskan) kalimahNya.


Dengan nama Allah, yang dengan namaNya akan terhalanglah segala sesuatu di bumi dan di langit untuk menimpakan bencana, dan Dia maha mendengar dan mengetahui.


Allahumma, kami berlindung pada Allah dari menyekutukan Engkau dengan sesuatu yang kami ketahui, dan kami memohon ampun dari (menyekutukanMu) dengan sesuatu yang kami tidak ketahui.

Aku berlindung pada kalimat Allah yang sempurna, dari kejahatan apa-apa yang diciptakan.


Allahumma, aku berlindung padaMu dari rasa sedih dan gelisah, dan aku berlindung padaMu dari sikap pengecut dan bakhil, dan aku berlindung padaMu dari cengkaman hutang dan penindasan orang.


Allahumma, sihatkanlah badanku, Allahumma, sihatkanlah pendengaranku, Allahumma, sihatkanlah penglihatanku.


Allahumma, sesungguhnya aku berlindung padaMu dari kekafiran dan kefakiran, Allahumma, aku berlindung kepadaMu dari azab kubur, tidak ada tuhan selain Engkau.


Allahumma, Engkau adalah Tuhanku, tidak ada tuhan selain Engkau, Engkau yang menciptakan dan aku hambaMu, dan aku berada dalam perjanjian denganMu, ikrar kepadaMu, (yang akan ku laksanakan dengan) segala kemampuanku, dan aku berlindung padaMu, dari kejahatan apa-apa yang telah aku lakukan, aku mengakui (dengan sebenar-benarnya) nikmatMu kepadaku, dan aku mengakui dosaku, maka ampunilah aku, kerana tidak ada yang boleh mengampuni dosa-dosa, kecuali Engkau.


Aku memohon ampun kepada Allah yang tidak ada tuhan selain Dia, yang hidup dan selalu jaga, dan aku bertaubat padaMu.

Allahumma, limpahkanlah selawat dan salam ke atas junjungan kami, Muhammad, dan atas keluarga junjungan kami Muhammad, seperti yang Engkau limpahkan selawat atas junjungan kami, Ibrahim, dan keluarga junjungan kami, Ibrahim, dan berkatilah junjungan kami, Muhammad, dan atas keluarga junjungan kami, Muhammad, seperti yang Engkau berkati junjungan kami, Ibrahim, dan keluarga junjungan kami, Ibrahim, di antara segenap isi alam semesta. Sesungguhnya Engkau Maha terpuji dan Maha Mulia.


Maha Suci Allah, dan segala puji bagi Allah, dan tidak ada tuhan selain Allah, dan Allah Maha Besar.


Tidak ada tuhan selian Allah, Yang Maha Esa, tidak ada sekutu bagiNya, bagiNya segala kerajaan dan dan bagiNya segala puji, dan Dia berkuasa ke atas segala sesuatu.


Maha Suci Engkau, Allahumma, dan segala puji bagiMu, aku bersaksi bahawa tiada tuhan selain Allah, aku mohon ampun dan aku bertaubat padaMu. 


Ya Allah, restui dan berkatilah junjungan kami Muhammad sebagai hamba, nabi dan rasulMu yang ummi. Berkatilah keluarga dan sahabat baginda. Sejahterakanlah baginda selama-lamanya. Kami pohonkan sebanyak bilangan apa sahaja yang diketahui oleh Allah atau sebanyak perkara yang ditulis oleh kalamMu, dan sebanyak yang dirangkum oleh kitabMu.


Terimalah dan relakanlah orang-orang terutamanya kami, Sayyidina Abu Bakar, Umar, uthman, Ali dan para sahabat baginda semuanya, para tabi’in dan orang-orang yang mengikuti jejak langkah mereka sampai hari pembalasan. Terimalah (kepulangan) mereka dengan sebaik-bainya. Maha Suci Tuhan (Engkau) yang memiliki kebesaran dan kemuliaan dari segala sifat tercela yang mereka cuba menempelkan kepadanya. Salam sejahtera untuk rasul utusan, Wal Hamdulillahi Rabbil ‘Alamin.

Ya Allah, kurniakanlah kami lisan yang lembut basah mengingati dan menyebut (nama)-Mu, hati yang penuh segar mensyukuri (nikmat)-Mu, serta badan yang ringan menyempurnakan ketaatan kepada (perintah)-Mu. Ya Allah, kurniakanlah kami iman yang sempurna, hati yang khusyuk, ilmu yang sempurna, keyakinan yang benar-benar mantap. (Ya Allah) kurniakanlah kami (din) cara hidup yang unggul, selamat dari segala mara bahaya dan petaka. Kami mohon dari segala mara bahaya dan petaka. Kami mohon (Ya Allah) kecukupan yang tidak sampai memaksa kami meminta jasa orang lain. Berikanlah kami (Ya Allah) iman yang sebenarnya sehingga kami tidak lagi gentar atau mengharap orang lain selain dari Engkau sendiri. Kembangkanlah lembayung rahmatMu kepada kami, keluarga dan anak-anak kami serta sesiapa sahaja yang bersama-sama kami. Janganlah (Ya Allah) Engkau biarkan nasib kami ditentukan oleh diri kami sendiri, walaupun sekadar sekelip mata, atau dengan kadar dengan masa yang lebih pendek dari itu. Wahai Tuhan yang paling mudah dan cepat memperkenankan permintaan. Selawat dan restu Allah untuk junjungan kami Muhammad, nabi yang mulia, jua kepada keluarga baginda dan para sahabat baginda kesemuanya.




[26]Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. [27]"Engkaulah (wahai Tuhan) yang memasukkan waktu malam ke dalam waktu siang, dan Engkaulah yang memasukkan waktu siang ke dalam waktu malam. Engkaulah juga yang mengeluarkan sesuatu yang hidup dari benda yang mati, dan Engkaulah yang mengeluarkan benda yang mati dari sesuatu yang hidup. Engkau jualah yang memberi rezeki kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dengan tiada hitungan hisabnya".
 (Ali 'Imran ayat 26-27)


Ya Allah, kini menjelanglah malam (ciptaan)-Mu, beredarlah sudah siang (ciptaan)-Mu, inilah keluhan dan pinta dari para du’atMu, maka oleh itu ampunkanlah dosaku.


Ya Allah Engkau maha mengetahui bahawa hati-hati ini (mereka yang telah dibayangkan tadi) telah berkumpul kerana mengasihiMu, bertemu untuk mematuhi (perintah)Mu, bersatu memikul beban dakwahMu, hati-hati ini telah mengikat janji setia untuk mendaulatdan menyokong syariatMu, maka eratkanlahYa Allah akan ikatannya, kekalkanlah kemesraan antara hati-hati ini akan jalanMu (yang sebenar), penuhkanlah di dalam hati-hati ini dengan cahaya RabbaniMu yang tidak kunjung malap. Lapangkanlah hati-hati ini dengan limpahan iman, keyakinan denganMu, dan keindahan tawakkal kepadaMu, hidup suburkanlah hati-hati ini dengan ma’rifat (pengetahuan sebenar) tentangMu. Dan (jika Engkau mentakdirkan kami mati) matikanlah pemilik hati-hati ini sebagai para syuhada’ dalam perjuangan agamaMu. Engkaulah sebaik-baik sandaran dan sebaik-baik penolong. Selawat dan restu Allah untuk junjungan kami Muhammad, nabi yang mulia, jua kepada keluarga baginda dan para sahabat baginda dengan kesejahteraan yang sebanyak-banyaknya.



No comments: